'Dah Lama Saya Seksi, Kenapa Sekarang Baru Kecam?' - Zizi Kirana

Penyanyi Zizi Kirana menyifatkan kecaman netizen terhadap penampilannya yang dikatakan seksi sebagai isu yang sengaja disensasikan sedangkan dia sudah terbiasa dengan imej begitu sejak mula mencipta nama.

Zizi atau nama sebenarnya, Nur Fazelah @ Zizi Mohd Tahil, 32, hairan mengapa baru kini imej yang dibawanya itu diperdebatkan kerana selama ini, tiada siapa yang mempedulikan cara pemakaiannya.


"Mungkin sebelum ini nama saya kurang menyerlah, jadi peminat tidak begitu mempedulikan cara pemakaian saya. Agaknya baru kini mereka menyedari kehadiran saya, lalu mengikuti perkembangan saya di media sosial.

"Bagi saya, pakaian yang saya gayakan itu tidak terlalu seksi atau mencolok mata. Saya berpakaian mengikut keselesaan dan kesesuaian tempat," katanya.


Biarpun menerima pelbagai kecaman, Zizi berkata dia tidak pernah ambil hati. Baginya, tidak guna memikirkan perkara remeh yang hanya memberi kesan negatif kepada dirinya.

"Saya tidak kisah dikecam, malah tidak pernah sesekali membalas segala komen yang diberikan. Tidak guna berbahas di media sosial, meskipun ada di antara komen yang dilemparkan agak keterlaluan dan menghiris hati.

"Saya cuma melakukan kerja saya dan tidak berbuat salah dengan sesiapa. Mereka tidak perlu menghukum hanya dengan menilai berdasarkan gambar yang dimuat naik di media sosial," katanya.


No comments