Alicia Amin Separuh Bogel Demi 'Hak' Wanita

Peserta program Asia's Next Top Model (ANTM) musim kelima iaitu Alicia Amin yang beraksi separuh bogel bersedia menerima segala kritikan sejak usianya 16 tahun lagi.

Alicia atau nama sebenarnya Raja Alicia Raja Amin, 22, berkata dia perlu berani untuk berhadapan dengan setiap cabaran terhadap tindakan dilakukannya.

"Sejak berusia 16 tahun saya sudah berhadapan dengan situasi begini ketika memperjuangkan hak wanita dan pandangan peribadi.

"Kadang-kala industri mengharapkan kesempurnaan, namun kita harus berani mengambil langkah pertama untuk bermula. Sebab itu, saya sentiasa mahu melakukan yang terbaik dengan apa yang saya miliki," kata Alicia kepada mStar Online.

Baru-baru ini, Alicia yang berbangsa Melayu dan beragama Islam dikecam teruk di media sosial gara-gara dia tampil bergambar seolah-olah berbogel.


Bagaimanapun, pelakon drama Meh Sandar Lagi ini meminta netizen untuk melihat kebaikan seseorang dan bukan hanya mencari kesalahan.

"Saya berharap netizen mencari ciri-ciri baik dalam seseorang dan bukannya mencari kesilapan.

"Mencari kesilapan orang lain tidak akan menjadikan mereka lebih bahagia. Saya tahu pandangan saya mungkin tidak sama dengan orang lain.

"Tetapi saya percaya kita hidup di negara yang mempertahankan hak kita untuk menerima semua budaya, bangsa, agama dan hidup bahagia antara satu sama lain," ujarnya.

No comments