Mahkamah Putuskan Eksekutif TV9, Nur Syaleza Mati Bunuh Diri

Shah Alam - Walaupun Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan eksekutif pentadbiran stesen televisyen TV9, Nur Syaleza Jaffar meninggal dunia kerana membunuh diri dan bukan dibunuh oleh suaminya, namun sikap curang lelaki itu adalah penyebab utama isterinya mengambil tindakan sedemikian.

Perkara tersebut ditegaskan Hakim Datuk Abdul Halim Aman semasa menyampaikan penghakimannya sebelum memutuskan Norazman Bashah Ahmad Azam Bashah yang merupakan bekas eksekutif bahagian teknologi maklumat (IT) syarikat minyak dan gas, dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan berkenaan.

Kata beliau, Nur Syaleza membunuh diri disebabkan kemurungan yang dihadapinya kerana memendam perasaan akibat perbuatan curang Norazman Bashah yang menjalinkan hubungan dengan wanita lain.

“Norazman adalah puncanya. Dalam kes ini Nur Syaleza melalui episod yang penuh pedih dan pilu namun nasi telah menjadi bubur. Penyesalan Norazman, jika ada, tidak dapat mengembalikan Nur Syaleza.

“Norazman telah musnahkan segalanya sehingga kesabaran Nur Syaleza tidak terbendung. Kemurungannya tidak boleh dibendung lalu jalan pintas diambil. Saya ingin mengingatkan semua, jagalah hati isteri masing-masing,’’ kata beliau.

Menurutnya, Nur Syaleza sanggup berkorban masa dan kewangan semata-mata kasih sayangnya terhadap Norazman Bashah selain dapat menerima kekurangan suaminya namun kesetiaan dan ketaatan yang diberi ibarat `panas diharap sampai ke petang tetapi hujan di tengah hari’.

Walau bagaimanapun kata beliau, daripada segi undang-undang, mahkamah mendapati keterangan-keterangan oleh pihak pendakwaan tidak cukup kukuh untuk menjadi tali gantung bagi menggantung Norazman Bashah justeru pihak pembelaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Berdasarkan pertuduhan, Norazman Bashah, 34, didakwa membunuh Nur Syaleza, 31, di kediamannya di No. 115, Tingkat 1 Blok O, Apartmen Saujana, Jalan PJU 10/1C, Damansara Damai, antara pukul 12 tengah hari dan 7.30 malam, 28 Julai 2012.

Pasangan itu mempunyai seorang anak lelaki berusia lima tahun manakala Nur Syaleza merupakan anak kedua daripada enam beradik.

Dalam penghakimannya, Hakim Abdul Halim juga menegaskan, kemurungan yang dihadapi oleh Nur Syaleza terbukti melalui keterangan-keterangan saksi pendakwaan termasuk ibunya, Rohani Ali, 54, dan bapanya, Jaffar Bakri, 63, serta rakan sekerjanya yang turut mengaku wanita itu suka memendam perasaan.

Mahkamah juga katanya, mendapati saksi pihak pendakwaan iaitu doktor pakar yang menjalankan pembedahan terhadap mangsa menghadapi kesukaran bagi mendapatkan jawapan terhadap kes itu.

Kata beliau, saksi tersebut tidak dapat menentukan sama ada Nur Syaleza telah menggantung diri atau dijerut dengan teori banyak kepada kemungkinan serta semua boleh diterima justeru tidak yakin dengan tepat sebab kematian.

Selain itu kata beliau, motif kejadian tidak dapat dibuktikan kerana tiada secebis keterangan ditampilkan oleh pihak pendakwaan untuk menjadi punca Norazman Bashah membunuh isterinya.

Malah ujar beliau, pegawai penyiasat kes, Pegawai Baha­gian Koordinasi Ke­menterian, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Ko­­muniti Bukit Aman, Asisten Superinten­den (ASP) Shamzury Saman dalam keterangannya juga mengaku siasatan terhadap kes itu tidak lengkap.

“Pegawai penyiasat gagal menyiasat bangku kecil yang berada dalam bilik tempat mangsa menggantung diri sama ada ia digunakan untuk berdiri sebelum membunuh diri, juga gagal menyiasat isu kemurungan serta tidak menemubual rakan-rakan rapat mangsa tentang isu ini,’’ kata beliau.

Menurutnya, pegawai penyiasat juga gagal menyiasat isi kandungan telefon bimbit Nur Syaleza untuk membuktikan isu kemurungan sedangkan status yang dimuatkan dalam telefon itu telah tersebar luas dalam media massa serta gagal menyiasat perwatakan wanita itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Rosidah Abu Bakar dan T. Deepa Nair manakala tertuduh diwakili dua peguam, Muhammad Fadhli Sutris dan Shah Rizal Abdul Manan.

Sebanyak 24 saksi dan 63 bahan bukti dikemukakan oleh pihak pendakwaan sepanjang perbicaraan di peringkat pendakwaan yang bermula 16 Oktober tahun lalu. Sementara Norazman Bashah saksi tunggal yang memberi keterangan di peringkat pembelaan.

Sementara itu, sebaik sahaja Hakim Abdul Halim selesai membaca keputusannya, Norazman Bashah yang memakai baju T ungu berbelang putih, dilihat menangis teresak-esak sambil menutup muka dalam kandang tertuduh manakala ahli keluarganya yang berada di galeri awam juga dilihat menangis.

Sejurus selepas selesai prosiding, Norazman Bashah meluru dan memeluk ibunya dan ahli keluarganya yang lain dan kemudian segera memeluk bapa mentuanya, Jaffar yang berada kira-kira empat meter daripada ahli keluarganya yang lain.

Keadaan dalam mahkamah semakin pilu apabila Norazman Bashah kemudian bersujud di hadapan ibu mentuanya, Rohani yang sedang duduk di bangku galeri awam, sambil memohon ampun.

Rohani dan Jaffar dari Felda Redong 1, Segamat, Johor, hadir ke mahkamah ditemani tiga ahli keluarga yang lain termasuk anak Norazman Bashah namun kanak-kanak itu tidak kelihatan dalam mahkamah selepas prosiding dan semasa bapanya meninggalkan mahkamah.

Norazman Bashah dilihat tersenyum apabila memasuki lif mahkamah namun hanya memberitahu `saya tidak mahu komen apa-apa’ apabila ditanya oleh para pemberita.

Sementara itu, Rosidah memberitahu pemberita, pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu.

No comments