Janda Cedera Tertikam Pisau Ketika Bergaduh Dengan Teman Lelaki 17 Tahun

Alor Setar - Janda berusia 25 tahun cedera di pinggang kiri selepas tertikam diri sendiri dengan pisau ketika bertengkar dengan teman lelakinya, 17, di rumahnya di Taman Desa, Kubang Rotan, di sini kerana cemburu, semalam.

Dalam kejadian 3.30 pagi itu, lelaki terbabit cemburu selepas teman wanitanya itu menghubungi lelaki lain meminta bantuan menghantarnya ke Pulau Pinang kerana untuk melawat bapanya yang sakit.

Wanita itu berkata, sebelum kejadian dia ada menghubungi rakan lelakinya meminta bantuan berkenaan namun disedari teman lelakinya yang datang ke rumah selepas terlihat nombor itu di dalam telefon bimbit.

Katanya, kerana cemburu, berlaku pertengkaran antara mereka sebelum lelaki terbabit yang juga anak angkat bapa tirinya bertindak memukulnya.

"Saya yang tidak tahan dipukul kemudian mengambil pisau di dapur untuk mempertahankan diri namun dia datang untuk merampas menyebabkan berlaku pergelutan sebelum saya tertikam diri sendiri sementara dia turut cedera di tangan.

"Darah ketika itu keluar tidak henti-henti dan keadaan saya sangat lemah dan hanya teringatkan keluarga sebelum teman lelaki menghubungi bapa tiri saya memaklumkan kejadian itu," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah, hari ini.

Katanya, bapa tirinya yang tiba tidak lama kemudian terus membawanya ke hospital dan terpaksa menerima empat jahitan sebelum dibenarkan keluar wad hari ini.

"Saya baru sebulan menjalinkan hubungan dengannya dan tidak sangka kejadian ini berlaku namun nekad ingin memutuskan hubungan ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kejadian itu disedari bapa tiri mangsa yang dihubungi suspek sebelum membawanya ke hospital.

"Pisau yang digunakan dalam kejadian itu turut dirampas dan suspek ditahan reman bermula semalam sehingga 12 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

No comments