Guru Didakwa Miliki 22 Video, Gambar Lucah Isteri Orang

Kuantan - Seorang guru didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan, di sini, hari ini kerana membuat, memiliki gambar serta video lucah dan memikat isteri orang untuk tujuan seks pada Mac lalu.

Tertuduh, Safriduwan Safar, 43, dari Bandar Jengka, Maran bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Beliau dituduh membuat dan memiliki 63 keping gambar dan 22 adegan video lucah yang disimpan di dalam telefon bimbit jenis Samsung dan Lenovo miliknya di rumah beralamat Lorong Pandan Makmur 2, Kuantan pada jam 1.33 petang 1 Mac lalu.

Beliau yang bertugas di sebuah sekolah rendah di FELDA Jengka juga dituduh memiliki gambar dan video lucah itu di dalam telefon bimbitnya pada 17 Mac lalu jam 6.21 petang.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Safriduwan yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak juga dituduh memikat seorang penjawat awam yang diketahui adalah isteri orang bagi tujuan melakukan persetubuhan yang ditegah.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

No comments