Elaun Pelajar Perguruan Akan Dihentikan Mulai Jun 2018

Putrajaya - Elaun bagi pelajar pengajian Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG) akan dihentikan bermula Jun tahun depan.

Kementerian Pendidikan memaklumkan, bagaimanapun, yuran pengajian bagi program itu berjumlah RM27,831 akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan sepanjang tempoh pengajian selama empat tahun.

"Pelajar IPG sedia ada iaitu bagi ambilan sebelum Jun 2017 akan terus menerima elaun seperti yang diselaraskan mulai 1 Januari 2017, iaitu pada kadar RM430 sebulan, selain belanja tambang pergi balik pada kadar maksimum RM500 untuk sekali dalam setahun sehingga tamat pengajian.

"Bagi pelajar ambilan Jun 2017, tiada elaun akan diberikan mulai Jun 2018," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, bagi pelajar Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP) ambilan baharu Jun 2017, bayaran elaun sara hidup RM430 sebulan dan belanja tambang balik pada kadar maksimum RM500 sekali setahun akan terus dibayar sepanjang tempoh program iaitu selama satu tahun.

Kementerian Pendidikan berkata, IPG sudah berbincang dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara untuk menyenaraikan IPG sebagai salah satu agensi penerima PTPTN bagi membolehkan pelajar IPG yang akan menyambung pengajian ke peringkat PISMP mulai Jun tahun depan menerima kemudahan pinjaman wang sara hidup.

No comments