'Di Dalam Kehinaan, Allah Masih Beri Saya Peluang' - Nash

Penyanyi Datuk Nash akui bersyukur kerana diberi peluang mengerjakan ibadah Haji meskipun dia menyedari telah melakukan banyak kekhilafan kepada Tuhan Maha Esa.

Nash atau nama sebenarnya Nashrudin Elias, 57, berkata, dia amat teruja apabila ditawarkan untuk berangkat ke Mekah pada 24 Ogos depan.

"Saya sangat bersyukur, di dalam kehinaan dan dosa yang banyak tapi Allah masih beri peluang kepada saya untuk bermuhasabah diri.

"Tiada apa yang boleh saya katakan kerana saya terlalu 'speechless' saat mendapat tawaran mengerjakan Haji buat pertama kali.

"Allah pilih saya itu pun saya sudah cukup bersyukur," katanya kepada Astro Gempak.

Apabila ditanya persediaannya sebelum berangkat ke tanah suci, penyanyi lagu Pada Syurga Di Wajah Mu itu memberitahu dia bakal menjalani kursus Haji.

"Sebelum ini saya pernah mengerjakan ibadah Umrah sebanyak dua kali, jadi untuk perkara asas serba sedikit untuk ke tanah suci saya sudah ada.

"Namun saya tetap akan menjalani kursus Haji untuk mempelajari ilmu khusus dalam ibadah ini," katanya lagi.

No comments