Cuba Selamatkan Isteri Diragut, Peniaga Maut Ditikam

Parit Buntar - Seorang peniaga barangan logam maut ditikam ketika mempertahankan rantai emas isterinya yang cuba diragut dua lelaki ketika berjoging berhampiran sebuah restoran makanan segera di Taman Wawasan di sini hari ini.

Menurut anggota keluarga mangsa yang enggan dikenali, dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi tadi, Yeap Ah Kang @ Yeap Bak Seng, 73, bersama isterinya Teow Siew Gaik, 67, sedang berjoging sebelum didatangi dua lelaki menaiki motosikal dan cuba meragut rantai leher yang dipakai isteri mangsa.

"Berlaku pergelutan sebelum seorang daripada suspek menikam mangsa dengan senjata tajam dipercayai pisau.

Mangsa yang cuba mempertahankan rantai isterinya daripada diragut telah ditikam di bahagian perut dan maut di tempat kejadian.

"Isteri mangsa turut mengalami kecederaan di lengan kiri apabila terkena senjata yang digunakan suspek. Dua suspek terbabit berjaya mengambil rantai mangsa dan melarikan diri," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Hospital Parit Buntar di sini.

Menurutnya, mangsa merupakan seorang pemilik premis perkakasan di Simpang Tiga di sini dan sudah 10 hari berjoging bagi mencari stamina sebelum berangkat ke China bersama keluarga pada 9 Julai nanti.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian Supt Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikannya sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Omar Bakhtiar turut menggesa orang awam atau saksi yang mengetahui kejadian itu untuk tampil memberi maklumat kepada polis.

No comments