Degil Tidak Mahu Letak Jawatan, CEO FGV Digantung Tugas Serta-Merta

Kuala Lumpur - Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Datuk Zakaria Arshad dipaksa bercuti berkuat kuasa serta merta oleh lembaga pengarah syarikat.

Arahan itu dikeluarkan melalui satu surat yang disampaikan setiausaha syarikat dengan disaksikan seorang Ahli Lembaga Pengarah FGV, Datuk Dr Omar Salim.

Surat itu disampaikan sejurus temu bual khas antara Zakaria bersama wartawan BH dan NST berhubung isu desakan peletakan jawatannya oleh Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad, yang disiarkan secara langsung di Facebook Berita Harian Online.

Zakaria yang ditemui di lobi Menara FELDA berkata, sebaik temu bual itu tamat, setiausaha syarikat bertemu dengannya dan membacakan surat memaksa beliau bercuti, sambil disaksikan Omar dan ketua keselamatan syarikat.

Katanya, arahan itu dikeluarkan bagi membolehkan FGV menyiasat isu tunggakan bayaran oleh syarikat Safitex bagi produk Delima Oil Products (DOP), sebuah anak syarikat FGV.

"Selepas surat itu dibacakan, saya mengakui faham dengan kandungannya dan mengambil surat itu. Tempoh bercuti tidak dinyatakan.

"Saya tak ada masalah (dengan arahan bercuti). Jika betul ikut proses, ok lah. Ini antara satu perkara yang akan saya hadapi.

"Bagaimanapun, saya tidak menjangkakan sampai macam ini sekali sebab benda ini bukan besar sangat. Kalau dah begini, saya hadapi dengan tangan dan hati terbuka," katanya di sini, hari ini.

Ditanya jika ada individu lain dipaksa bercuti, Zakaria tidak mengetahuinya, namun tidak menolak kemungkinan ada yang bakal berdepan nasib sama.

Berhubung kemungkinan mengambil tindakan undang-undang, Zakaria akan menunggu keputusan FGV sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.

"Soal sama ada FGV memberi peluang atau tidak, saya akan pertahankan diri walau apa juga yang berlaku," katanya.

Isu desakan peletakan jawatannya bermula apabila penulis blog, Raja Petra Kamaruddin, mendakwa Isa berusaha menyingkirkan Zakaria daripada jawatannya kerana dianggap 'terlalu lurus' dan tidak mahu meluluskan urus niaga 'di bawah meja'.

No comments