Real Madrid Juara Liga Juara-Juara Eropah

Cardiff - Dua jaringan Cristiano Ronaldo menjulang Real Madrid untuk merangkul gelaran ke-12 Eropah selepas menewaskan Juventus 4-1 pada pertembungan final menarik Liga Juara-Juara di Stadium Millennium, sebentar tadi.

Ronaldo membuka tirai jaringan pada minit ke-20 berpunca hantaran Daniel Carvajal untuk juara Sepanyol itu mendahului namun ia pantas disamakan Juventus tujuh minit kemudian.

Tampak tidak tertekan dengan jaringan pembukaan Real, Mario Mandzukic meledakkan gol cantik menerusi sepakan gunting untuk Juventus menyamakan kedudukan pada minit ke-27 berpunca hantaran Gonzalo Higuain.

Ketika perlawanan tampak seimbang pada babak pertama, pemain Brazil, Casemiro meletakkan Real di depan pada minit ke-61 menerusi rembatan jarak jauh menarik menewaskan Gianluigi Buffon.

Ia diikuti jaringan kedua peribadi Ronaldo, tiga minit kemudian untuk Real selesa mendahului 3-1.

Gol Ronaldo berpunca daripada hantaran bijak Luka Modric yang gagal dikekang pertahanan Juventus.

Keadaan Juventus tambah parah apabila terpaksa beraksi kurang seorang pemain pada minit ke-72 selepas pemain gantian, Juan Cuadrado dilayangkan kad kuning kedua kontroversi atas kekasaran terhadap Sergio Ramos.

Peluang itu tidak disia-siakan Los Blancos yang menjulang trofi La Liga musim ini untuk menambah jaringan menerusi pemain gantian, Marco Asensio pada minit ke-90.

No comments