Peralatan Radar Canggih Hilang Tiba-Tiba Di PTP, Johor Bahru

Johor Bahru - Konsainan peralatan radar ketenteraan berteknologi tinggi bernilai jutaan ringgit didapati hilang di Pelabuhan Tanjung Pelepas di sini.

Pelbagai agensi termasuk Jabatan Kastam dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) sedang menyiasat kes kehilangan itu.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Asisten Komisioner Nor Hashim Mohamad mengesahkan menerima satu laporan berhubung perkara tersebut.

Sementara itu, Penolong Ketua Pengarah (Penguatkuasaan) Kastam, Datuk Paddy Abd Halim berkata, siasatan dalaman sedang dijalankan berhubung perkara itu.

Menurut sumber, pegawai kastam menahan kemasukan sistem radar tersebut sejurus selepas konsainan itu tiba dari Australia bulan lalu.

Barangan tersebut yang diletakkan dalam satu kontena sepatutnya dihantar ke Belanda menerusi Johor tetapi tidak mempunyai permit yang diperlukan, menyebabkan ia ditahan.

Semua peralatan ketenteraan yang dihantar keluar atau transit di mana-mana pelabuhan di Malaysia memerlukan permit khas dari Miti.

Menurut sumber, tiada permit atau dokumen sokongan yang diberikan apabila diminta pihak pelabuhan dan pegawai kastam.

Difahamkan, barangan tersebut tidak dapat diletakkan di pelabuhan sewaktu pemeriksaan audit baru-baru ini, dan satu laporan polis dibuat.

Pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan bahawa konsainan itu telah dimasukkan ke kapal lain dan dihantar ke Belanda secara rahsia bagi mengelakkan sebarang masalah.

Tambah sumber, tidak mudah peralatan itu dikeluarkan menggunakan pengangkutan darat kerana pemeriksaan ketat di pintu masuk dan keluar pelabuhan.

Difahamkan, pihak kastam menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat perkara itu secara dalaman dan menentukan sama ada prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

Sumber berkata, peralatan sensitif tersebut memerlukan permit di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010.

Tambah sumber lagi, penalti adalah berat di mana denda maksimum RM10 juta, manakala yang bersalah boleh berdepan hukuman mati.

Menurut sumber, permit dikeluarkan oleh sekretariat perdagangan strategik Miti di Kuala Lumpur.

Katanya, kertas kerja bagi permit itu boleh diisi secara dalam talian dan mengambil masa lima hari bekerja untuk pengeluaran permit.

Akta yang terkandung menerusi lebih 1,237 halaman dalam bahasa Inggeris dan Melayu itu terdapat di laman web Miti.

Ia meliputi pelbagai barang dan barangan sensitif untuk mengawal atau mencegah mereka daripada menggunakannya dalam senjata nuklear dan senjata pemusnah besar-besaran, terutama sekiranya ia berada di tangan pihak pelampau.

No comments