Mahu Kenal Dengan Lebih Rapat, Fattah Amin Jumpa Keluarga Fazura

Bintang paling popular 2017, Fattah Amin, 26, akui dirinya semakin rapat dan sedang dalam proses mengenali hati budi pelakon jelita, Fazura.

Fattah turut mengaku sudah bertemu dengan keluarga Fazura untuk mengenali aktres itu dengan lebih rapat.

“Terus terang buat masa ini kami senang untuk berkawan dan mula mengenal hati budi masing-masing. Saya dah jumpa keluarga Fazura begitu juga sebaliknya.

“Buat masa ini semuanya amat positif. Jadi untuk pergi jauh lagi, itu kuasa Allah. Kalau dialah jodoh saya, tidak salah untuk saya terima,” kata Fattah kepada Utusan Malaysia

Selain selesa bekawan rapat di luar set, Fattah juga menganggap Fazura seorang wanita yang baik dan berperwatakan menarik.

Perkara itu juga adalah antara salah satu sebab mengapa Fattah ingin mengenali Fazura dengan lebih rapat.

“Dia seorang wanita yang sangat positif. Aura itu yang menyebabkan saya sedia untuk bekerjasama. Itu juga merupakan ciri-ciri wanita yang saya idamkan selama ini,” jelas Fattah.

Walaupun ada pihak yang beranggapan hubungan mereka sekadar cinta lokasi dan salah satu strategi promosi drama tersebut, Fattah berpendapat perasaan cinta dan keserasian itu perlu wujud dan akan datang secara semula jadi tanpa paksaan.

Selain itu Fattah juga turut menafikan dakwaan bahawa peminat mereka mendesak untuk kedua pelakon itu bercinta.

“Apa yang mereka mahukan adalah kami berjaya. Mereka juga faham percintaan itu bukan benda yang boleh dipaksa. Ia hanya akan datang secara semula jadi,” ujarnya lagi.

No comments