Lelaki 46 Tahun Hancur 3 Jari Terkena Mercun Buatan Sendiri

Pasir Mas - Seorang lelaki hancur tiga jari kiri selepas terkena mercun buatan sendiri di Kampung Kutan Tengah, Pasir Mas malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, mangsa Wan Rodzi Wan Abdullah, 46, yang cedera di ibu jari, jari telunjuk dan jari hantu dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu untuk rawatan lanjut.

Wan Rodzi berkata, ketika kejadian dia sedang bermain mercun buatan sendiri sendirian di hadapan rumahnya. Katanya, ketika sedang menyalakan sumbu mercun itu, secara tiba-tiba ia terus meletup sebelum dia sempat membalingnya.

"Saya hanya mampu menjerit kesakitan, sebelum terus berlari pulang ke rumah.

"Menantu kemudian membawa saya ke HRPZ II di sini dengan menunggang motosikal untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Katanya, mercun itu dihasilkan sendiri dengan memasukkan belerang yang diambil dari mercun bola yang sudah lama dibeli ke dalam sebatang besi.

Wan Rodzi adalah mangsa ketiga yang dilaporkan di Kelantan untuk tahun ini selepas Mohd Firdaus Roslan, 14, dari Panchor, di sini cedera di mata kiri, dua jari kanan serta lengan angkara mercun buatan sendiri pada Rabu lalu.

Selain itu, seorang lelaki cedera ibu jari selepas individu tidak dikenali melempar mercun bola di raga motosikalnya.

No comments