Lepas Kematian Anak, Bekas Ketua Mafia Khatam Quran Dalam Penjara & Kembali Insaf

Siapalah kita mahu menidakkan kuasa Allah. Hanya Dia Yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui. Memang bukan semua insan itu yang mendapat hidayah dari-Nya. Jika tidak dibukakan pintu hati oleh Allah pasti segala kejadian baik tidak akan berlaku.

Baru-baru ini viral apabila bekas ketua mafia berpengaruh di selatan Australia, Vince Focarelli telah memeluk agama Islam.

Besar sungguh hidayah yang Tuhan berikan padanya hingga membolehkan dia yang ketika itu telah di penjara mahu Al-Quran menjadi temannya di sel hingga berjaya khatam seluruh kitab suci berkenaan walaupun tidak faham maksudnya.

Ikuti perkongsian kisah bekas ketua mafia yang memang amat digeruni dek kerana kejahatan yang dilakukannya.

Tapi tidak ramai yang tahu kisah di sebalik Vince yang lahir dalam keluarga yang beragama Kristian (Katolik) mendapat hidayah untuk memeluk agama Islam.

Pada awalnya, Vince yang berbadan sasa ini hanyalah seorang Muslim pada nama dan bukan pada penghayatannya.

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam Bayan Linnas siri ke-93, hidayah itu timbul apabila Vince selalu meluangkan masa bersama ahli-ahli kumpulannya yang mana sebahagian mereka beragama Islam.


Perbincangan mengenai Nabi Isa (Jesus) menarik minat Vince sehingga apabila diceritakan mengikut kaca mata Islam, dia kemudian mengaitkannya dengan kefahaman agamanya (Kristian) ketika itu.

Banyak persoalan sering menghantui dirinya sehinggalah hidayah itu muncul dan Vince sendiri mengucapkan dua kalimah syahadah.
Walaupun Vince telah memeluk Islam, namun dia tetap meneruskan aktiviti bersama kumpulannya.

Kumpulan-kumpulan gengster lain sentiasa mencari ruang untuk menjatuhkan antara satu sama lain dan terdapat enam percubaan untuk membunuh Vince termasuk satu percubaan bunuh menggunakan bom.

Malah, salah satu siri percubaan membunuh itu telah meragut nyawa anak lelakinya, Giovanni.

Vince pernah dipenjarakan dan ditempatkan secara bersendirian dalam sel tahanan, dan satu permintaannya adalah menjadikan Al-Quran sebagai teman. Di sinilah Vince membaca Al-Quran dari mula sehingga berjaya mengkhatamkannya walaupun dia sendiri tidak mengetahui isi kandungannya.

Dengan kebesaran Allah, sejurus mengkhatamkan bacaanAal-Quran, Vince didatangi seorang warden penjara untuk memberitahu dirinya telah bebas. Hari itu ternyata bermakna buat Vince yang mengakhiri kehidupannya di sebalik tirai besi selama 14 bulan di atas kesalahan dadah dan senjata api.

Perkara pertama yang dilakukannya apabila dibebaskan dari penjara adalah pergi bersolat di masjid, selain meninggalkan kumpulannya bersama segala aktiviti lampau.

Vince memulakan kehidupan baharu dengan membuka sebuah restoran di Australia yang menyediakan makanan halal dan turut memberi sumbangan kepada golongan gelandangan selain melakukan amal jariah lain.

Vince sebelum memeluk Islam bersama pengikut setianya.

Bagaimanapun, Vince kini menerima perintah diusir keluar dari Australia dan perlu kembali ke negara asalnya di Itali. Namun ia tidak mematahkan semangatnya dalam berdakwah bagi mengajak manusia lain untuk mengenal Islam.

Kisah perubahan dirinya yang menjadi tular satu masa dahulu banyak dijadikan sebagai motivasi untuk melakukan perubahan dalam kehidupan bahkan membuka mata ramai pihak mengenai bagaimana Islam mampu mengubah kehidupan seseorang.

Vince memilih Abdul Salam sebagai nama Islamnya yang mana Salam itu membawa maksud selamat sejahtera.

Ditanya mengapa memilih nama Abdul Salam, Vince berkata: “Dahulu aku banyak membuat huru-hara, kini aku seorang Muslim, hamba Allah SWT. Aku tidak akan membuat huru-hara lagi.”

SUMBER: LAA TAHZAN ASSOBIRIN

No comments