Kena Kutuk Di FB Punca Dua Pelajar Sekolah Bertumbuk

Perli dan mengutuk sesama sendiri di laman sosial Facebook (FB) dipercayai menjadi punca pergaduhan dua pelajar lelaki sebelum video itu tular di FB.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Zaldino Zaludin berkata, kejadian pergaduhan itu membabitkan pelajar tingkatan empat dan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mantin, Nilai.

Menurutnya, pergaduhan berlaku di sebuah taman permainan yang terletak berhampiran sekolah berkenaan, pada jam 1 tengah hari, 16 Jun lalu.

"Berdasarkan siasatan awal, pelajar tingkatan empat terbabit mengutuk seniornya menyebabkan mereka bersemuka dan menyahut cabaran untuk bertumbuk di luar sekolah. Kedua ibu bapa mengetahui kejadian dan tidak mahu hal diperbesarkan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Rusni Ab Jalil berkata, pihak sekolah sudah memanggil kedua-dua pelajar dan ibu bapa mereka semalam.

"Ketika pertemuan, mereka membuat permohonan maaf. Kami (Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan) anggap kes selesai.

"Namun, kami mencadangkan sekolah mengambil tindakan disiplin jika didapati bersalah dan mengadakan sesi kaunseling," katanya.

Rakaman video berdurasi satu minit 15 saat itu menunjukkan dua remaja lelaki bergaduh manakala kira-kira 10 pelajar yang berpakaian seragam sekolah bersorak menyaksikan pergaduhan itu.

No comments