Juruterbang Malaysia Dipenjara 13 Tahun Rogol Wanita Australia

Seorang juruterbang warga Malaysia, Alfred Gerard Eravelly, 50, dijatuhi hukuman penjara 13 tahun oleh mahkamah Australia pada Khamis setelah didapati bersalah melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita, 21 tahun lalu.

Hakim memutuskan tertuduh bersalah pada April lalu.

Lapor ABC News Australia, Mahkamah berkenaan memutuskan Eravelly bersalah terhadap kesemua lima pertuduhan iaitu melakukan serangan seksual ganas, merompak, mengurung dan mencederakan mangsa.

Eravelly didakwa melakukan jenayah berkenaan pada tahun 1996, ketika dia masih menuntut di Perth, Australia.

Pada malam serangan itu (Mac 1996), tertuduh yang bersenjatakan pisau dan menutup kepala telah memasuki rumah mangsa wanita yang ketika itu berusia 38 tahun di Scarborough melalui tingkap bilik mandi.

Tertuduh kemudiannya mengikat tangan mangsa ke belakang dan menutup matanya sebelum berulang kali merogol mangsa.

Eravelly melarikan diri selepas insiden tersebut, dia kemudiannya menjadi juruterbang syarikat penerbangan sebelum menetap di Pulau Pinang bersama keluarganya.

Bapa kepada dua anak itu ditahan bersama waran tangkap ketika melalui Sydney untuk bercuti ke New Zealand bersama keluarganya tahun lalu.

Ketika perbicaraan, Eravelly menafikan sebarang kesalahan, mengekalkan kenyataan dia bertemu wanita berkenaan di sebuah hotel dan mereka melakukan hubungan seks secara konsensual.

No comments