'Harap Abang Ngah Sedar, Dia Nak Pergi Konvokesyen'

Kota Bharu - Bapa kepada mangsa nahas van, Izahar Kasim, 49 mengharapkan anaknya sedar dan pulih seperti sedia kala serta dapat menghadiri konvokesyen Ogos ini.

Muhammad Faiz Hafizuddin Mohamad Izahir, 17, kini masih dirawat dan dalam kritikal.

Menurutnya, anak kedua daripada lima beradik itu sangat teruja untuk menghadiri konvokesyen yang akan diadakan di Kolej Universiti Insaniah Kuala Ketil, Kedah.

“Itu cita-citakan abang Ngah. Tapi sekarang dia belum sedar. Saya tak putus berdoa supaya dia boleh celik mata dan bercakap macam biasa,” katanya di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), semalam.

Izahar berkata, anaknya sudah lima tahun belajar di Tahfiz CT-One Islamic Centre, yang dibiayai sepenuhnya oleh pengasasnya, Datuk Adnan Hashim.

“Alhamdulillah pada usia 16 tahun dan pada tarikh lahirnya juga, dia dah hafal semua surah. Cita-cita dia nak jadi Kor Agama Angkatan Tentera.

“Tahun ini dia ambil SPM. Kami doakan ALLAH SWT beri kesembuhan supaya dia boleh capai cita-citanya perjuangkan agama,” katanya.

Izahar yang juga bekas tentera dari Selising Pasir Puteh berkata, dia menerima berita kemalangan itu kira-kira jam 10.30 pagi, kelmarin.

Ketika itu katanya, dia dalam perjalanan untuk singgah melawat anaknya, yang kebetulan hari itu mahu menziarahi ahli keluarga di Kesedar Lebir, Gua Musang.

“Kami terus ke sana. Sekuat-kuat hati saya seorang lelaki pun, bila sampai di tempat kejadian saya terduduk bila lihat kain putih menutup mayat.

“Saya ingatkan salah seorangnya anak saya. Alhamdulillah, syukur bila kawan anak saya datang beritahu Faiz dihantar ke hospital,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan Klinikal Hospital Universiti Sains Malaysia, Dr Nik Min Ahmad berkata, Muhammad Faiz berada di bawah jagaan pakar.

“Ada kecederaan di kepala pesakit dan doktor pakar sedang membuat siasatan serta rawatan rapi. Sekarang ini dia dibekalkan ubat untuk tenangkan diri,” katanya.

No comments