Gadis Dirogol Bergilir-Gilir Selepas Diugut Masukkan Mercun Dalam Mulut

Kota Bharu - Enam lelaki bernafsu binatang tergamak merogol remaja perempuan berusia 17 tahun secara bergilir-gilir di sebuah pondok yang jauh dari rumah penduduk di Tok Uban, Pasir Mas, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, sebelum itu, mangsa dipercayai mengikut teman lelakinya berusia 21 tahun untuk keluar makan rojak dekat Tok Uban.

"Mereka keluar sekitar jam 11.45 malam Jumaat dan selepas makan, mangsa dibawa ke sebuah pondok terpencil di Tok Uban.

"Di pondok itu sudah ada lima lelaki berusia 20 hingga 32 tahun yang menunggu. Mangsa tidak mengenali mereka yang juga kenalan teman lelakinya.

"Disebabkan takut, mangsa cuba melarikan diri dan menjerit meminta tolong tetapi tidak berjaya. Dia ditangkap kumpulan lelaki berkenaan dan diugut akan dimasukkan mercun bola ke dalam mulut sekiranya melawan.

"Mangsa dirogol secara bergilir-gilir semua suspek termasuk teman lelakinya," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Kelantan, di sini, semalam.

Din berkata, pada jam 4 pagi, mangsa meminta teman lelaki menghantarnya ke rumah seorang rakan di Tok Uban sebelum rakannya itu menghantarnya pulang ke rumah keluarga di Bukit Panar, Tanah Merah.

"Mangsa bersama ibunya membuat laporan di Balai Polis Tok Uban, semalam (Sabtu)," katanya.

Beliau berkata, susulan itu, empat lelaki yang terbabit ditahan dirumah masing-masing di Chetok, Pasir Mas antara jam 3 petang dan 7 malam hari sama laporan dibuat.

Menurutnya, tiga daripada empat lelaki yang ditahan didapati positif amphetamine. Polis kini memburu dua lagi lelaki yang masih bebas.

"Semua suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana merogol secara berkumpulan," katanya.

No comments