Berpakaian Seksi, Peniaga Bazar Ramadan Diarah Balik

Kuantan - Seorang pembantu peniaga diarah pulang oleh Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) kerana berpakaian mencolok mata di bazar Ramadan Jalan Sungai Lembing, di sini, kelmarin.

Wanita berusia awal 20-an itu didapati tidak mematuhi etika berpakaian yang ditetapkan MPK, malah melanggar aspek kebersihan apabila tidak memakai tudung atau penutup kepala, lapor Harian Metro.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam MPK berkata disebabkan itu wanita terbabit diarah pulang ke rumah untuk menukar pakaian yang lebih sesuai.

“Amalan kebersihan itu bukan saja pada makanan dan minuman yang disediakan tetapi juga kebersihan gerai serta kawasan persekitaran,” kata Izad Zainal Muhammad Safian seperti dilapor akhbar itu.

Katanya MPK tegas dalam soal etika berpakaian dan kebersihan, selain menempatkan pegawai di setiap lokasi bazar Ramadan untuk memudahkan pengunjung membuat aduan.

“Bagaimanapun secara keseluruhannya kita berpuas hati dengan komitmen semua peniaga bazar Ramadan setakat ini dan meminta mereka mematuhi peraturan itu sepanjang Ramadan,” katanya.

No comments