(10 Gambar) Tiga Maut, 6 Parah Van Rempuh Treler Di LPT2

Tiga lelaki warga Thailand maut dan enam lagi rakan mereka parah selepas van dinaiki merempuh belakang lori di Kilometer 327.2 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), dekat Kerteh, 3.20 pagi, hari ini.

Ketiga-tiga mangsa yang maut itu belum dapat dikenal pasti identitinya.

Seorang wanita berusia 41 tahun yang juga belum diperolehi identitinya dilaporkan kritikal manakala empat lagi yang parah dan hanya dikenali sebagai Nasmee,16; Royita, 30; Kado, 53, serta pemandu van, Mohd Nasri, 41, diberi rawatan di Hospital Dungun sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Seorang lagi lelaki yang turut parah dalam kejadian itu dan belum diperolehi identitinya pula dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan lanjut.


Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila van yang dinaiki kesemua mangsa dikatakan merempuh bahagian belakang lori yang membawa muatan baja dipandu Jamil Lisut, 56.

Rempuhan terbabit menyebabkan van itu remuk teruk dan kesemua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing.

Difahamkan, kesemua mangsa itu dari Kuantan dan dipercayai dalam perjalanan pulang ke kampung mereka di Pattani, Thailand.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh, Pegawai Bomba Kanan II Alias Latif berkata, 10 anggota bomba dari Balai Bomba Kerteh dan Paka dengan dua jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi didapati kesemua mangsa tersepit di dalam kenderaan mereka dan pihaknya mengambil masa selama 15 minit untuk mengeluarkan semua mangsa.

"Mayat kesemua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

No comments