Wanita Terkejut Jumpa 'Jari' Dalam Sup Ikan

Seorang wanita terkejut menemui objek seperti hujung jari manusia dalam sup ikan yang dihidangkan ibunya minggu lalu.

Li Jiaqi, pengguna media sosial Taiwan memuat naik gambar itu di Internet yang kemudian dikongsikan sepupunya Wu JinJia dalam forum atas talian seterusnya mencetuskan debat mengenai kandungan sebenar sup ikan berkenaan.

Wu memuat naik gambar berkenaan di forum Facebook Taiwan, Baoliao Commune pada 22 Mei lalu dan berkata, dia terkejut melihat apa disangkanya keratan jari manusia di dalam sup dimakan Li.

“Lebih teruk lagi, Li bergurau dengan berkata itu jari ibunya,” katanya.

Jika diteliti, objek itu juga mempunyai bahagian yang nampak seperti kuku. Bagaimanapun, ia sebenarnya sebahagian daripada perut ikan yang membantu haiwan itu terapung di dalam air.

Menurut Wu, ibu Li memasukkan bahan itu ke dalam sup berkenaan untuk menambah perisanya. Disebabkan suhu panas, ia mengecut dan nampak tidak ubah seperti hujung jari dengan kulitnya berkedut.

Li berkata, dia tidak sanggup makan ‘jari’ itu dan memberikannya kepada anjingnya.

Gambar itu mendapat hampir 7,000 like dan ribuan komen dengan ramai pengguna Facebook tidak yakin ia bukan jari.

Seorang pengguna secara berseloroh menulis: “Adakah ini kes bunuh? Perlukah kita melaporkannya kepada polis?”

Seorang lagi pula mengagak jari itu dimakan ikan berkenaan dan tidak sempat dihadam sebelum haiwan itu ditangkap dan dimasak.

No comments