(Video) 'Warna Mata Saya Ori, Cikgu'

"Mula-mulamasuk sekolah menengah, saya pernah dipanggil guru disiplin kerana disangka memakai kanta lekap berwarna biru.

“Guru itu bertanyakan sama ada saya pakai kanta lekap atau (warna mata saya) 'original',” kata Nurul Syafiqa Mustafa Kamal, 17, remaja yang memiliki mata berwarna biru di Kampung Bingkul di Beaufort.

Menurut pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Paul, Beaufort, guru berkenaan tidak percaya bahawa warna asli matanya memang benar-benar biru.

Katanya, guru itu mungkin pelik kerana belum pernah melihatnya di sekolah berkenaan.

"Saya jawab (warna mata) 'ori' (asli)... dia tidak percaya. Tetapi apabila saya menggosok mata saya beberapa kali... (baru dia percaya)," katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di Kampung Bingkul di Beaufort, hari ini.

Selain Nurul Syafiqa, 17, adiknya, Kamarul Hisham turut memiliki mata berwana biru.

Ibunya, Rosdah Abdullah, 47, yang mempunyai darah campuran Melayu Brunei dan Pakistan pula memiliki warna mata kanan berwarna biru dan hitam, pada mata sebelah kiri.

Suami Rosdah, Mustafa Kamal Matali, 48, yang berasal dari Negeri Sembilan, dan seorang lagi anak mereka, Mohd Hafizudin, 12, memiliki warna mata hitam.

Nurul Syafiqa berkata, dia dan Kamarul Hisham sudah biasa mendapat perhatian daripada orang ramai yang terkejut dengan warna mata mereka.

"Ada juga yang mahu mengambil gambar bersama dengan kami," katanya.

Harian Metro sebelum ini, melaporkan gelagat Kamarul Hisham yang bermata biru mencuri tumpuan wakil media yang membuat liputan ketika kunjungan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Masjid Haji Akbar Khan di Kampung Bingkul di Beaufort, semalam.

Raut wajah Kamarul Hisham dengan warna biru laut itu amat kontra dengan rambut hitam lebat dan kulit sawo matang yang dimilikinya, menyebabkan dia amat menonjol berbanding kanak-kanak lain di kampung berkenaan.

Sementara itu, Kamarul Hisham berkata, dia gembira apabila kisahnya sebagai budak bermata biru dipaparkan dan menjadi tular di laman sosial.

Katanya, ada juga rakan sekolah yang mengusik matanya seperti bintang 'Hollywood'.

No comments