(Video) Staf Baru Kerja Sehari Kantoi Curi Barang Kemas RM50,000

Kulim - Seorang wanita yang baru sehari bekerja dipercayai telah mencuri barang kemas bernilai hampir RM50,000 di sebuah Kedai Emas Goldfinch, di sini semalam.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, suspek yang hanya dikenali sebagai Ellieya, 29, didakwa telah mencuri beberapa utas rantai dan gelang semasa rakan sekerjanya pergi ke tandas.

"Dia masuk kerja 24 Mei jam 4 petang. Bila kami minta kad pengenalannya, dia memberikan alasan terlupa bawa. Jadi kami pun kata, esok dia kena bagi.

"Ketika seorang kakitangan pergi ke tandas, dia mengambil kesempatan itu untuk mencuri barang-barang kemas.

"Apabila rakan sekerjanya kembali, suspek memaklumkan dia mahu keluar makan, sebelum terus melarikan diri," kata pengendali laman Facebook kedai emas terbabit.

Semakan video kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan, suspek telah mencuri barang-barang kemas tersebut dan memasukkannya ke dalam pakaiannya.

Kejadian itu hanya disedari oleh kakitangan berkenaan selepas mendapati terdapat pelbagai jenis barangan kemas bernilai hampir RM50,000 hilang, sebelum membuat laporan polis.

Justeru, Kedai Emas Goldfinch menawarkan ganjaran RM3,000 kepada mana-mana pihak yang berjaya menangkap suspek.

No comments