(Video) Solat Tarawih 'Ekspres' Di Kuala Terengganu, Selesai Dalam 30 Minit

Kuala Terengganu - Solat sunat Tarawih di Masjid Buluh Gading, di sini, boleh dianggap paling ringkas dan cepat berikutan hanya mengambil masa antara 25 hingga 30 minit bagi menyelesaikan lapan rakaat serta tiga rakaat solat sunat Witir.

Wartawan Harian Metro yang ke masjid itu malam kelmarin mendapati solat sunat terbabit yang bermula jam 8.50 malam selesai pada jam 9.15 malam berbanding kelaziman solat Tarawih di masjid atau surau lain paling cepat selesai kira-kira jam 9.30 malam.

Uniknya solat tarawih yang diimamkan Ustaz Mastura Mohamad, 47, sejak 1992 itu ialah kerana dia hanya membaca satu ayat daripada surah al-Baqarah atau surah lain pada setiap rakaat selepas selesai surah al-Fatihah.

Mastura berkata, tradisi meringkaskan solat Tarawih sudah diamalkan sejak zaman arwah datuknya, Yusof Salleh pada awal 1980-an sebelum diteruskan bapanya, Mohamad Yusof sehingga 2004.

“Ramai yang silap faham, mereka menganggap kami mempercepatkan solat Tarawih sedangkan hakikat sebenar kami bukan solat secara cepat, tetapi meringkaskannya.

"Bukan cepat atau tergesa-gesa menghabiskan setiap rakaat tetapi meringkaskan bacaan dalam solat dan pada masa sama tidak mengabaikan hukum dan syarat sah solat termasuk dengan tamakninahnya," katanya.

Mastura berkata, sejak solat Tarawih diringkaskan di masjid berkenaan, jumlah jemaah yang menyertai solat sunat ini makin meningkat dari setahun ke setahun.

"Alhamdulillah pada Ramadan kali ini jumlah jemaah dianggarkan meningkat sehingga 3,000 orang dan mereka terdiri daripada penduduk di seluruh kampung berdekatan termasuk juga dari daerah lain.

"Kami gembira apabila dapat memberi kemudahan dan pilihan kepada orang ramai untuk menunaikan solat Tarawih yang ringkas.

"Individu yang terikat dengan pelbagai tugasan atau keuzuran untuk menunaikan solat Tarawih secara berjemaah mengikut kelaziman yang diamalkan di setiap masjid boleh datang ke Masjid Buluh Gading," katanya.

Menurutnya, paling seronok dan memberi kepuasan kepadanya dan ahli jawatankuasa masjid apabila pendekatan itu berjaya menarik golongan belia, remaja dan kanak-kanak untuk emnunaikan solat Tarawih.

"Saya puas apabila melihat belia, remaja dan kanak-kanak turut sama memenuhi saf dan menghabiskan lapan rakaat solat Tarawih dan tiga rakaat Witir pada setiap malam.

"Objektif kami untuk mengimarahkan masjid, di samping mendekatkan golongan belia, remaja dan kanak-kanak kepada masjid tercapai apabila kehadiran mereka bertambah pada setiap tahun.

"Bagi saya biarlah ia ringkas asalkan dapat menarik golongan itu ke masjid untuk turut sama menunaikan solat Isyak dan Tarawih berbanding mereka tidak solat langsung," katanya.

Menurutnya, selain dia, dua adik-beradiknya, Ustaz Nasrun, 43 dan Ustaz Abdul Hanis, 31, yang mempunyai kelulusan Universiti Al-Azhar, Mesir turut bertugas sebagai imam di masjid berkenaan.

"Kami adik-beradik memang dididik oleh arwah datuk dan ayah untuk bertugas sebagai imam bagi menggantikan mereka sejak kecil dan kami bersyukur kerana berjaya menyambung tradisi itu.

"Solat Tarawih yang diringkaskan sah dan ia buka sesuatu amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam, malah tidak pernah mendapat sebarang tentangan daripada mana-mana pihak sepanjang ia diamalkan secara turun-temurun," katanya.

No comments