(Video) Perompak Samun Restoran, Larikan Beg Milik Pelanggan

Ampang Jaya - Enam penjenayah bersenjatakan parang panjang menyerbu masuk ke dalam sebuah restoran di Ukay Boulevard, Hulu Klang, di sini, dan merompak pelanggan yang sedang makan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, pelanggan yang sedang menikmati makan malam kelihatan tergamam apabila kumpulan penyamun terbabit meluru masuk ke dalam premis dengan memakai topi keledar.

Kumpulan penjenayah itu merampas beg tangan pelanggan wanita serta mengarahkan pelanggan lelaki menyerahkan telefon bimbit dan dompet sebelum melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias ketika dihubungi, mengesahkan kejadian dan menegaskan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Katanya, kumpulan penjenayah terbabit didapati menaiki tiga motosikal dan melarikan pelbagai barangan berharga dan wang tunai berjumlah lebih RM29,000.

"Kumpulan itu turut mengambil wang tunai dari mesin tunai restoran sebelum melarikan diri.

"Polis sudah mengambil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Hamzah berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini diminta supaya tampil untuk membantu siasatan lanjut.

No comments