Ustaz Fadzil Sudah Tiada...

Kubang Pasu - Seorang pendakwah terkenal di negeri ini maut dipercayai setelah terlibat dalam kemalangan di Kilometer 10.3, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dekat sini, petang tadi.

Mangsa, Fadzil Hassan, 73, yang cukup dikenali menerusi rancangan Halaman Keluarga di siaran radio Kedah FM pada setiap Jumaat, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 3.45 petang tadi di Hospital Jitra.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Ismail Ibrahim berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 3.20 petang dalam keadaan cuaca baik.

"Siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa terbabas sendiri sebelum melanggar pembahagi jalan.

"Akibat daripada kejadian itu, mangsa tidak sedarkan diri dan dihantar ke Hospital Jitra bagi mendapatkan rawatan. Namun kira-kira pukul 3.45 petang, pihak hospital memaklumkan mangsa meninggal dunia," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, setakat ini polis masih menanti laporan daripada pihak hospital mengenai punca kematian mangsa.

"Siasatan akan diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

No comments