(Video) Aksi Tukar Raket Beregu Malaysia Ketika Perlawanan Menakjubkan!

Meskipun Malaysia gagal muncul juara Kumpulan C, Kejohanan Badminton Piala Sudirman selepas tewas 3-2 kepada Jepun pada peringkat kumpulan malam tadi, namun aksi dipamerkan pemain negara khususnya beregu campuran nyata mencuri perhatian dunia.

Perlawanan terakhir kumpulan menyaksikan beregu campuran negara, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing bukan sahaja menewaskan Yuta Watanabe-Arisa Higashino dalam pertarungan sengit tiga set, bahkan aksi pertukaran raket kedua pemain negara itu ketika perlawanan masih berlangsung cukup menakjubkan.

Ketika perlawanan masih sengit di set kedua, pasangan beregu kesembilan dunia itu melakukan pertukaran raket dan lebih menarik, mereka berjaya mendapatkan mata untuk servis tersebut.

Pada kedudukan mata 11-15, Pei Jing memberikan raketnya kepada Kian Meng sebelum beliau meninggalkan rakan sepasukannya itu beraksi seorang diri di gelanggang dan berlari mendapatkan raket baharu dan kembali semula bagi menyambung permainan.

Beberapa saat kemudian, mereka berjaya mendapatkan mata dalam servis yang cukup mendebarkan itu.

Perlawanan yang berlangsung di Gold Coast, Australia, itu mendapat sorakan penonton selain pengulas perlawanan menyifatkan aksi pertukaran raket tersebut sebagai luar biasa.

“Oh... beliau tukar raketnya. Beliau (Pei Jing) lari keluar untuk mendapatkan raket baharu,” kata pengulas sukan wanita.

“Itu adalah sesuatu yang fantastik. Luar biasa,” tambah seorang lagi pengulas perlawanan.

“Dan mereka memenangi servis tersebut. Itu (aksi) yang sangat sensasi. ‘Bagi aku raket, kau pergi ambil yang baharu’ sambil membaling raket,” ujar pengulas perlawanan tersebut dengan nada teruja, sambil kedengaran sorakan penonton.

Video dimuatnaik ke laman Facebook sehingga kini mendapat tontonan lebih 55,000 kali.

Rata-rata pengguna Facebook menyatakan aksi yang ditunjukkan kedua-dua pemain negara itu sebagai menakjubkan dan hebat.

No comments