'Tangan Di Tempat Lain, Kepala Di Tempat Lain'

"Cebisan daging berselerakan. Tangan di tempat lain, kepalanya di tempat lain dan penuh darah di kawasan itu,” kata penduduk tempatan di Kampung Melayu Jakarta Timur, Amri Halim, 32, menceritakan insiden cemas serangan dua pengebom berani mati yang meragut tiga nyawa anggota polis Indonesia.

Amri ketika dihubungi Harian Metro berkata, sebelum kejadian itu, dia yang dalam perjalanan pulang terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas sebelum terdengar letupan kuat sebaik tiba di stesen bas itu kira-kira 9 malam tadi.

“Saya segera memberhentikan kereta sebelum melihat orang ramai bertempiaran lari meninggalkan stesen bas sambil menjerit kuat ada pengebom berani mati,” katanya.

Amri berkata, lima minit kemudian satu lagi letupan kuat berlaku di kawasan itu.

“Orang ramai yang berada di situ mula tunduk dan ada yang menangis ketakutan. Saya memberanikan diri menghampiri kawasan itu.

“Cebisan daging dan kepala turut terdapat di tempat kejadian, sangat mengerikan,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian dia lihat anggota polis cuba menyelamatkan rakan mereka dan orang awam yang tercedera.

Dia berkata, dia percaya serangan itu sebenarnya mensasarkan polis yang menjaga lalu-lintas di kawasan berkenaan.

“Sebenarnya, menjadi rutin biasa buat kami di perkampungan melakukan konvoi damai pusing kampung dan seluruh Jakarta bagi menyambut Ramadan.

“Jadi, polis jaga lalu-lintas mungkin jadi sasaran pengebom. Konvoi juga sepatutnya dijadualkan lalu ke kawasan ini tetapi diarah melalui kawasan lain selepas letupan berlaku,” katanya.

Amri berkata, kawasan itu kini ditutup kepada orang ramai dan polis sudah memasang garisan kuning dengan jarak 100 meter dari lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.

No comments