Remaja Maut Terkena Renjatan Power Bank

Melaka - Seorang remaja lelaki ditemui maut dipercayai terkena renjatan elektrik telefon bimbit yang sedang dicaj menggunakan powerbank di dalam bilik tidurnya di Taman Merbok, Bukit Baru di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.10 pagi itu, mangsa Syamirul Armizie Adenan, 19, ditemui meninggal dunia oleh ibunya Suriah Rahim, 48, di atas katil dengan kesan kulit melecet pada bahagian bahu kiri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim berkata, kejadian hanya disedari oleh ibunya apabila mangsa tidak membuka pintu bilik selepas diketuk berulang kali sebelum dibuka dengan kunci pendua.

"Selepas berjaya dibuka, si mati ditemui dalam keadaan terbaring sambil mengenakan fon telinga (earphone) yang disambungkan pada telefon bimbitnya dan dalam keadaan bercas pada sebuah power bank.

"Ibu mangsa yang merupakan seorang jururawat juga mendapati terdapat kesan melecet di bahagian bahu kiri dan power bank berada berdekatan bahu kiri si mati.

"Dia kemudian cuba menggerakkan remaja itu, namun menyedari anaknya tidak lagi bernyawa," katanya hari ini.

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke hospital untuk bedah siasat dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

No comments