Pemurahnya Rakyat Malaysia, 2 Hari Kumpul Lebih RM10,000 Untuk ‘Scrambler’ Guru

Kuala Lumpur - Seorang guru tidak menyangka kisahnya yang terpaksa menunggang motosikal sejauh 135 kilometer setiap hari ke sekolah menarik perhatian ramai.

Dalam masa dua hari, sumbangan sejumlah RM11,956 berjaya dikumpul untuk Ahmad Saidin Mohd Idris, 40, supaya dapat menukar motosikal kapcainya kepada ‘scrambler’ baru yang dianggarkan berharga RM10,000.

“Saya terkejut dan terharu dengan setiap insan yang memberikan sumbangan itu,” katanya ketika dihubungi Malay Mail Online.

Guru sains itu mendapat perhatian warga internet baru-baru ini mengenai kisahnya yang terpaksa berulang-alik dari Kuala Medang, Lipis di Pahang, melalui jalan berlumpur dan berbukit demi tugas mendidik anak-anak Orang Asli di Sekolah Kebangsaan Lenjang.

Derma online kemudian ditubuhkan dan mendapat perhatian ramai termasuk dari dalam dan luar negara.

Hazim Nordin, 39, yang melancarkan derma itu berkata paling tinggi diterima sebanyak US$450 (RM1,945) daripada rakyat Malaysia yang menetap di Timur Tengah.

Katanya warga asing juga tidak ketinggalan, antaranya seorang warga British yang bekerja sebagai guru di Malaysia menderma sebanyak US$50 (RM216).

Namun Ahmad Saidin merancang untuk memberikan setiap sen yang diterimanya untuk pembelajaran 456 pelajar SK Lenjang di Lipis.

No comments