Peminat Manchester United Suspek Bom Konsert Ariana Grande

Manchester - Salman Abedi, pemuda Britain keturunan Libya, dinamakan sebagai suspek pengebom yang mengorbankan 22 orang di konsert Ariana Grande.

Polis Greater Manchester menamakan pemuda 22 tahun itu dalam satu kenyataan tetapi enggan mendedahkan butiran lanjut, lapor AFP.

Keutamaan polis masih lagi untuk menentukan sama ada pemuda itu bertindak sendirian atau bergerak dalam kumpulan, kata ketua polis Ian Hopkins.

Salman, seorang peminat pasukan Manchester United, dilahirkan di sini dalam keluarga pelarian Libya sewaktu Muammar Gaddafi masih berkuasa.

Suspek dipercayai pernah berhubung dengan Raphael Hostey, yang berasal dari sini, yang menggerakkan puluhan belia ke Syria, lapor The Times.

Salman dibesarkan di Fallowfield, selatan bandar ini, bersama adik-beradiknya, termasuk abangnya Ismail, 23, yang disiasat polis semalam.

Pemuda ini belajar dalam jurusan pengurusan dan perniagaan di Universiti Salford pada 2015 tetapi gagal menghabiskan pelajarannya.

Dalam kejadian malam Isnin, 59 lagi cedera dalam letupan di penghujung konsert penyanyi terkenal Amerika Syarikat itu.

Ledakan itu dilaporkan di bahagian pintu depan dewan Manchester Arena sewaktu pengunjung konsert mula keluar dan ibu bapa pula menunggu anak-anak mereka.

Keganasan terbesar yang mengorbankan 52 orang di Britain terjadi pada Julai 2005. Ia melibatkan empat pengganas beragama Islam warga negara itu.

No comments