Pemilik Warung Kesal Pelanggan Pertikai Nasi Campur Berharga RM32

Chukai - Viral di Facebook harga sepinggan nasi dengan lauk dua potongan sotong, seekor udang galah dan sayur kangkung yang diambil seorang pelanggan di Warung Aziz Satar di Kampung Geliga Baru, di sini, berharga RM32.

Berikutan gambar yang dimuat naik pemilik akaun Facebook, Syed Ikram pada Jumaat lalu menyebabkan netizen memberi reaksi termasuk mengecam pemilik kedai makan berkenaan.

BACA: Pelanggan Terkejut Dicaj RM32 Sepinggan Nasi

Bagaimanapun, Liza Musid, 25, yang mengusahakan kedai makan berkenaan kesal dan kecewa dengan tindakan pelanggannya itu yang didakwanya sebagai berniat jahat menjatuhkan perniagaannya.

Menurutnya, dia tidak menafikan harga sepinggan nasi dan lauk diambil berharga RM32 seperti diviralkan pelanggan itu.

"Cuma apa yang saya kesal dan kecewa tindakannya itu kerana setiap menu makanan dijual di kedai ini diletakkan tanda harga dengan cetakan huruf besar pada kain rentang di atas tempat makan.

"Pelanggan boleh pilih lauk pada haga yang disediakan itu kerana ada yang murah dan ada mahal mengikut jenis makanan," katanya ketika ditemui di kedainya, di sini, semalam.

Menurutnya, tidak semua makanan disediakan mahal, tetapi dia mengakui udang galah dan sotong memang harganya tinggi berdasarkan harga mentahnya.

Katanya, harga sekilo sotong di pasar ketika itu ialah RM27 yang hanya dapat tiga bersaiz besar manakala udang galah pula RM65 sekilo untuk lapan ekor.

"Apabila dimasak tentulah harganya mahal dan saya sudah letak tanda harganya untuk rujukan pelanggan," katanya.

Menurutnya, pelanggan yang viralkan dengan mendakwa harga mahal itu mengambil seekor udang galah gred A dengan harga RM15 seekor, dua potong sotong dengan RM14, RM2 untuk nasi putih dan RM1 bagi sayur kangkung menjadikan jumlahnya RM32.

Katanya, pihaknya lebih kesal kerana pelanggan terbabit mendakwa tidak perasan harga udang dan sotong dipamerkan pada kain rentang itu.

"Selain itu, pelanggan terbabit seperti menyembunyikan sepotong lai sotong dalam pinggan nasi diambilnya dan saiz udang galah gred A kelihatan kecil berbanding saiz sebenar dalam gambar yang diviralkannya.

"Tidak semua harga makanan yang saya jual di kedai ini mahal, harga nasi campur dengan lauk sayur yang dimakan rakan pelanggan hanyalah RM8 berbanding dengannya sendiri," katanya.

Seorang pelanggan Warung Aziz Satar yang mahu dikenali sebagai Mat, 60, pula berkata, dia mengakui harga udang galah dimasak di kedai makan memang mahal tidak hanya di Warung Aziz Satar sahaja.

Sementara itu, pelanggan yang viralkan harga nasi mahal itu gagal dihubungi tetapi menerusi akaun Facebooknya, dia mendakwa tidak kisah membayar harga makanan diambilnya itu tetapi terkejut dengannya kerana hanya makan di kedai di tepi jalan sahaja.

No comments