Lelaki Mabuk Maut Selepas Tumbuk Cermin Kedai

Kuala Lumpur - Tindakan seorang lelaki yang menumbuk cermin sebuah kedai komputer, di Pudu Ulu, di sini, pagi tadi, membawa padah apabila dia mati kerana akibat kehilangan darah.

Dalam kejadian sekitar jam 6 pagi itu, lelaki terbabit yang dipercayai mabuk dilaporkan bertengkar dengan dua rakannya, termasuk seorang wanita semasa melalui pusat perniagaan di Blok C, Alamanda Pudu UIu, Jalan Cheras.

Lelaki itu yang ditinggalkan rakannya kemudia dipercayai mengamuk dan menumbuk cermin kedai komputer menyebabkan kecederaan serius pada tangannya.

Lelaki terbabit dilaporkan meminta bantuan orang ramai, namun tiada seorang pun yang dilaporkan berada di kawasan berkenaan.

Dia ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah sekitar jam 7 pagi.

Berdasarkan keadaan di tempat kejadian, kesan darah lelaki berusia dalam lingkungan 30-an, itu membasahi lantai dari kedai komputer yang dipecahkannya sehingga ke lokasi dia terbaring.

Ketika ditemui, mangsa dilaporkan sudah tidak bernyawa dipercayai akibat kehilangan banyak darah.

Setakat ini, kes berkenaan disiasat mengikut kematian mengejut (SDR).

No comments