'Kalau Nak Popular, Jadi Selebriti Bukan Menteri' - TMJ

"Setakat setakat mahu menjadi popular, lebih baik menjadi selebriti, bukannya memegang jawatan sebagai seorang menteri atau ahli politik," demikian reaksi Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Beliau berkata demikian berikutan ketiadaan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam perlawanan akhir Piala FA antara Kedah dan Pahang, Sabtu lalu.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Shah Alam itu, turut dihadiri oleh tiga Kerabat Diraja iaitu dari Kedah, Johor dan juga Pahang.

Menurut Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu, bagi pendapatnya, beliau (Khairy) sepatutnya antara individu penting yang turut hadir menyaksikan salah satu perlawanan bersejarah ini.

"Dikhabarkan beliau terlibat dengan program Askar Wataniah pada malam perlawanan Piala FA tersebut. Pada saya, sekiranya program Askar Wataniah lebih menjadi keutamaan, adalah lebih baik beliau menjadi askar wataniah daripada menjadi Menteri Belia dan Sukan.

"Janganlah hanya memilih untuk pergi ke atur cara yang anda pasti akan menjadi tumpuan majlis tetapi apabila sebaliknya, tidak mahu pergi kerana sudah tahu anda tidak menjadi tumpuan.

"Apabila anda telah menjadi seorang menteri atau ahli politik, yang sebetulnya adalah mengenai berkhidmat kepada rakyat dan institusi negara, bukan berkhidmat untuk kepentingan diri sendiri. Kalau setakat mahu menjadi popular, lebih baik menjadi selebriti, bukannya memegang jawatan sebagai seorang menteri atau ahli politik," katanya dalam satu kenyataan di Facebook Johor Southern Tigers.

Tegasnya, kepada semua ahli politik dan wakil-wakil Pemuda, keutamaan tugas mereka adalah turun padang dan berkhidmat kepada rakyat, bukannya mengira berapa banyak 'followers' di laman media sosial.

Jelasnya, ini bukan soal sukan dan bola sepak sahaja tetapi ini adalah tanggungjawab dan amanah kesemua ahli-ahli politik dalam negara.

No comments