(14 Gambar) Habib Indonesia Dinamakan Suspek Kes Pornografi

Polis Indonesia pada Isnin menamakan Habib Rizieq, pemimpin dan pengasas Barisan Pembela Islam (FPI) sebagai suspek utama dalam satu kes pornografi.

Ia dilihat sebagai satu ancaman baharu kepada ulama itu yang sebelum ini lantang menganjurkan bantahan besar-besaran terhadap bekas Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama.

Habib sebelum ini pernah didakwa berhubung isu menghina Pancasila dan pemerintahan sekular republik itu.

Ketegangan agama dan politik meningkat sejak enam bulan lalu apabila kumpulan dan pertubuhan Islam bersatu menentang Basuki yang kini dipenjarakan kerana menghina Al-Quran.

Habib didakwa melanggar undang-undang ketat berhubung pornografi apabila dikatakan bertukar-tukar mesej dan gambar bogel dengan seorang wanita yang dikenali sebagai Firza Husein.

Jurucakap polis Jakarta, Argo Yuwono mengesahkan Habib telah dinamakan sebagai suspek yang bermakna kes itu akan dikemukakan di mahkamah sedikit masa nanti.

“Jenayah utamanya adalah terbabit dan mengedar kandungan berunsur pornografi,” kata Yuwono dalam satu pesanan ringkas.


Peguam Habib, Sugitmo Atmo Pawiro, bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan berkata ia adalah fitnah semata-mata dari penyokong Purnama.

Habib ketika ini dilaporkan berada di luar negara.

Sementara jurucakap FPI berkata dakwaan itu ‘tidak berasas’.

“Tuduhan itu telah disengajakan untuk mencemar imej ulama,” kata Novel Bamukmin, ketua FPI cawangan Jakarta.

Habib pernah dipenjara pada tahun 2003 dan 2008 atas dakwaan keganasan dan mengganggu ketenteraman awam.

No comments