Gula: 'Baru Naik Harga, Takkan Nak Naik Lagi?' - Menteri

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tidak akan tunduk kepada desakan pengilang-pengilang gula untuk menaikkan harga barangan keperluan itu buat masa ini.

Menteri KPDNKK Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, kementerian memutuskan tidak akan menaikkan harga gula memandangkan pasaran gula dunia pada masa ini jatuh.

Beliau berkata, kerajaan menaikkan harga gula pada 1 Mac lalu berikutan pasaran harga gula global yang meningkat.

"Sekarang harga gula dunia jatuh, buat apa kita nak naikkan harga pula," katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Jangan Lebih-Lebih di Putrajaya hari ini.

Katanya, beliau akui ada pihak pengurusan tertinggi pengilang gula datang bertemunya untuk membincangkan kenaikan harga gula berkenaan.

Baru-baru ini, MSM Malaysia Holdings Bhd iaitu peneraju pengeluar gula bertapis terbesar negara berharap kerajaan akan menaikkan lagi harga runcit gula sebanyak 29 sen sekilogram bagi mengimbangi kenaikan kos pengeluaran.

KPDNKK pada 1 Mac lalu menetapkan harga baharu gula pasir putih bertapis kasar pada harga RM2.95 sekilogram.

No comments