'Doakan Atif Dapat Rezeki Untuk Kita Bersahur'

Pontian - “Doakan Atif dapat rezeki banyak, nanti kita dapat makan lauk sedap ketika sahur,” luah Junainah Zainal, 55 menceritakan pesanan anaknya Muhammad Atif Hafifi yang ditemui lemas pagi tadi.

Junainah memberitahu dia mula rasa tidak sedap hati selepas anaknya itu tidak pulang dari menjala ikan tengahari semalam.

“Biasanya Atif akan pulang ke rumah pada sebelah tengahari selepas keluar menjala ikan pada waktu pagi.

“Ribut dan angin kencang yang berlaku tengahari semalam, menyebabkan rasa tidak sedap hati mengenangkan Atif,” katanya.

Dia yang tinggal di Batu 36, dikejutkan dengan panggilan dari anaknya Mohd Sharizan, 34 memaklumkan tentang kejadian yang menimpa Atif kira-kira jam 3.30 petang.

“Arwah tidak bercakap ketika hendak keluar dari rumah untuk menjala ikan di laut pagi semalam. Biasanya dia akan bercakap dengan saya dan bapanya Abdul Manap Hashim,” katanya.

Sementara itu, abangnya, Dzul Izwan, 32 memberitahu dia segera mendapatkan tiket penerbangan dari Kuching, Sarawak sebaik sahaja mendapat panggilan dari ahli keluarga kira-kira jam 3.30 petang, semalam.

Dia yang merupakan tentera darat yang bertugas di Semarahan, Sarawak masih lagi terkejut dengan kejadian yang menimpa adiknya itu.

Bagaimanapun, dia pasrah dengan ketentuan Illahi dan menyifatkan adiknya itu dan seorang yang baik dan kerap membantu ibu dan bapanya.

“Kali terakhir saya bertemu dengannya pada Hari Raya Aidilfitri tahun lepas. Arwah belum berkahwin dan tinggal bersama ibu bapa dan seorang lagi abang, Mohd Sharizan, 34,” katanya.

No comments