Cuepacs Tuntut Kerajaan Beri Bonus Raya RM1,000

Kuala Terengganu - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus raya sekurang-kurangnya RM1,000 kepada 1.6 juta penjawat awam menjelang Aidilfitri ini.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, peningkatan jumlah imbuhan itu diyakini dapat memberi kelegaan kepada golongan penjawat awam terutama dalam mendepani kos hidup yang meningkat dan harga barang yang tidak terkawal.

Katanya, perbincangan lanjut mengenai permohonan itu dijangka diadakan dengan pihak kerajaan dalam waktu terdekat sekali gus beliau menafikan laporan yang tular beberapa hari lalu mengenai pemberian bonus sebanyak RM500 pada tahun ini.

“Saya akan berjumpa dengan pihak kerajaan untuk menyampaikan hasrat CUEPACS, namun kita masih belum memutuskan kadar bonus itu tetapi kita berharap jumlahnya kelak akan lebih baik berbanding tahun-tahun lalu atau sekurang-kurangnya RM1,000,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Bengkel Keselamatan dan kesihatan Pekerjaan Sektor Awam (Hirarc) Peringkat Terengganu 2017 di Wisma Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di sini hari ini.

No comments