Bayi Maut Tercampak: Polis Tahan Pemandu Persona

Polis menahan pemandu kereta Proton Persona yang menghimpit kereta Perodua Axia menyebabkan bayi berusia tiga bulan maut, selepas tercampak daripada kereta keluarganya di Kilometer 443.8 Lebuh Raya Utara Selatan.

Ketua Polis Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam, berkata pemandu itu ditahan hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Pemandu terbabit selesai menjalani ujian saringan air kencing dan kita dapati keputusannya negatif.

"Selepas ujian air kencing, kita juga ambil spesimen darahnya untuk pemeriksaan ujian dadah dan alkohol di Hospital Kuala Kubu Bharu," katanya.

Supramaniam berkata, pemandu kereta Axia bersama isterinya masih berada di Hospital Sungai Buloh.

Kejadian yang berlaku pada jam 1 tengah hari semalam sempat dirakam oleh seorang pengguna jalan raya dan video kemalangan berdurasi 34 saat itu viral di laman Facebook.

No comments