'Arwah Isteri, Guru Yang Sempurna Di Mata Saya'

Kota Bharu - "Isteri sentiasa mahu buat yang terbaik dalam tugasannya," kata Kamarul Azhar Ahmad, 45, suami kepada guru wanita yang meninggal dunia ketika sambutan Hari Guru di sini, hari ini.

Katanya, isterinya, Naizura Mohamed, 42, tidak menunjukkan sebarang tanda, sebaliknya ceria ketika mahu ke Sekolah Kebangsaan (SK) Othman Talib (1), Tendong, untuk menyambut Hari Guru.

"Dia (Naizura) pernah menjalani pembedahan pintasan jantung pada tahun 2009 tetapi selepas itu dia sihat dan tidak pernah mengadu sakit.

"Malah sambutan Hari Guru yang diadakan hari ini, arwah sempat memberitahu mahu melakukan persembahan terbaik bersama muridnya kerana ia disambut hanya setahun sekali.

"Tidak sangka kata-kata itu menjadi petanda kepada arwah akan dijemput Ilahi pada hari yang bermakna bagi seorang guru," katanya ketika ditemui di sini, sebentar tadi.

Terdahulu, jenazah Naizura yang meninggal dunia akibat serangan jantung selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Perangkap, Bunut Susu, di sini, jam 6.30 petang tadi.

Dalam kejadian jam 12 tengahari tadi itu, Naizura rebah ketika membuat persembahan penutup sempena sambutan Hari Guru sekolah berkenaan.

Mangsa yang juga seorang guru bahasa Melayu, diberikan rawatan bantuan pernafasan (CPR) sebelum dibawa menaiki ambulans ke Klinik Kesihatan Tendong. Mangsa meninggalkan empat anak berusia 21 hingga 12 tahun.

No comments