(6 Gambar) Dua Remaja Mati Lemas Ketika Mandi Di Lubuk Ular

Ipoh - Dua rakan ditemui lemas ketika mandi di Sungai Lubuk Ular, Kampung Juang, Simpang Pulai di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, kedua-dua mangsa, Muhammad Izani Shaiful Anuar, 18, dan Fadzlin Ilyana Fauzi Amir, 15, dipercayai mandi di kawasan itu sebelum seorang daripada mereka lemas.

Difahamkan, Fadzlin dipercayai lemas ketika mandi menyebabkan Muhammad Izani cuba menyelamatkannya, namun gagal dan turut lemas.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai, Mohammad Yusof Ghazali berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.54 tengah hari sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat kemudian dijalankan dan pihaknya berjaya menemui mayat remaja perempuan di dasar sungai dan menemui mayat remaja lelaki tiga meter dari mayat rakannya itu.

"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

"Operasi ditamatkan jam 4.12 petang," katanya.

No comments