(5 Gambar) Bayi Tiga Bulan Maut Tercampak Dari Kereta

Hulu Selangor - Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan maut selepas tercampak keluar dari kereta dalam kemalangan di KM433.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Kuala Kubu Bharu dekat sini, hari ini.

Bayi berkenaan, Aril Rizqin Redza Shahril disahkan meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh.

Ketua polis daerah Hulu Selangor Supt R.Supramaniam berkata dalam kejadian pukul 1 tengah hari itu, kereta jenis Proton Persona yang dipandu seorang wanita, S. Nishanty, 27, telah berpusing ke arah bertentangan dan melanggar penghadang jalan.

Insiden itu turut menyebabkan kereta jenis Perodua Axia yang dipandu Shahril Salleh, 32, yang berada di belakangnya hilang kawalan dan terbabas ke dalam longkang.

“Kemalangan itu menyebabkan isteri Shahril, Rafnah Mongudancgal, 35, dan bayinya Aril Rizqin Redza tercampak keluar dari kereta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rafnah, Shahril dan dua lagi anak lelak mereka, Aril Hakimi Ashraf, 11, dan Aril Zakuan Haris, 4, serta pemandu kereta Persona itu hanya mengalami cedera ringan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

No comments