Wanita Tertua Di Malaysia Meninggal Dunia

Kubang Pasu - Seorang warga emas dipercayai wanita paling tua di negeri ini, Puan Ahmad, 121, menghembuskan nafas terakhir di rumah cucunya di Kampung Bendahara, Kodiang kerana sakit tua pada kira-kira pukul 1.30 petang tadi.

Allahyarham yang baru menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-121 pada 12 April lalu meninggal dunia di sisi dua orang anak dan seorang cucunya.

Cucunya, Zaini Noh, 44, berkata, neneknya itu meninggal dunia akibat sakit tua selepas tidak dapat bergerak dan kurang selera makan sejak dua minggu lalu.

“Sebelum jatuh sakit, nenek masih boleh berjalan dan menguruskan diri sendiri. Malah, dia begitu berselera menjamah nasi berlaukan kari kepala ikan yang merupakan makanan kegemarannya sebelum sakit tua,” katanya di sini hari ini.

Warga emas itu mempunyai empat orang anak yang berusia antara 65 hingga 90 tahun, 19 cucu, 60 cicit dan seorang piut.

Jenazah Puan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Batu Empat, Kampung Bendahara di sini pada malam ini.

No comments