Wanita Parah Dirempuh Penunggang Motosikal Ketika Melintas

Georgetown - Seorang pejalan kaki wanita mengalami kecederaan parah pada kepala dan masih tidak sedarkan diri selepas dirempuh sebuah motosikal dalam kejadian langgar lari di persimpangan lampu isyarat di Jalan Burmah di sini kira-kira pukul 1.24 petang tadi.

Mangsa berusia dalam lingkungan 50-an itu kini masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Kejadian berlaku semasa mangsa sedang melintas di garisan belang lalu dirempuh sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki.

Insiden terbabit kini menjadi tular di laman WhatsApp apabila video kejadian itu sempat dirakam seorang pemandu kereta yang sedang berhenti di garisan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash berkata, pihaknya telah mengenal pasti no pendaftaran motosikal terbabit dan usaha menjejakinya sedang giat dijalankan.

Menurutnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

No comments