Tekan Loceng Pilih Gadis 'Geli-Geli'

Cheras - Tekan loceng untuk dapatkan khidmat tukang urut ‘geli-geli’. Itu antara taktik digunakan sindiket pelacuran di Jalan Pudu yang berselindung di sebalik premis urutan refleksologi.

Kegiatan pelacuran itu bagaimanapun dibongkar pihak polis jam 11 malam kelmarin, selepas mereka menyamar sebagai pelanggan untuk memasuki premis itu.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota polis Unit Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras itu, turut menahan lelaki tempatan terbabit berusia 45 tahun serta empat wanita warga Vietnam.

Sumber berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat awam dan risikan berhubung kewujudan pusat urut yang beroperasi tanpa lesen di premis itu.

“Premis berkenaan dikawal ketat dan pelanggan yang mahu mendapatkan khidmat urut perlu membunyikan loceng pintu terlebih dulu sebelum pintu dibuka penjaga premis.

“Ketika serbuan dilakukan, tiada pelanggan di dalam premis dan penjaga pusat urut itu gagal mengemukakan lesen perniagaan ketika diminta polis.

“Pemeriksaan lanjut mendapati premis itu dilengkapi enam bilik urut dengan setiap bilik dilengkapi tilam, tuala dan minyak urut,” katanya.

Sumber itu berkata, sekumpulan empat wanita warga Vietnam berusia 26 hingga 39 tahun yang disyaki bekerja sebagai tukang urut dikumpulkan dalam satu bilik di belakang premis, dipercayai sedang menunggu pelanggan.

No comments