Syria Ugut Lancar Peluru Berpandu SCUD Ke Arah Israel

Ketika Amerika Syarikat buat pertama kalinya melancarkan serangan ke bumi Syria pada awal hari ini, tentera rejim Syria yang dipimpin diktator Bashar Al- Assad sebaliknya mengeluarkan amaran kepada rejim Israel.

Tentera Syria dilaporkan mengugut akan melancarkan peluru berpandu SCUD ke arah Israel sekiranya rejim itu berterusan melancarkan serangan ke arah Syria, lapor Israel Today.

Semenjak bermulanya perang di Syria, Israel dipercayai telah melancarkan beberapa serangan ke atas beberapa lokasi di Syria.
Alasan utamanya adalah untuk menggagalkan proses penghantaran senjata kepada pejuang Hezbollah, yang dikaitkan dengan Assad.

Tentera Israel juga telah membalas serangan ke arah Syria beberapa kali, selepas kawasan di Bukit Golan dibom oleh kumpulan pemberontak.

Dalam satu mesej kepada Israel seperti yang dilaporkan oleh media Lubnan Al-Diyar, rejim Assad mengingatkan: "Syria boleh membalas serangan Israel dengan menembak peluru berpandu SCUD sekiranya mereka menyerang Syria sekali lagi."

Syria dikatakan memiliki lebih 800 peluru SCUD, setiap satunya berkebolehan menghantar satu muatan separuh tan bahan letupan dan dianggap kepala peledak kimia paling berbahaya.

Meskipun sekutu Syria, Rusia, dipercayai akan menghalang Assad daripada menyerang Israel namun kemungkinan untuk Assad melancarkan serangan itu tetap ada memandangkan ia merupakan salah satu usahanya untuk terus berkuasa.

No comments