Suspek Pukul Pelajar Tahfiz Pernah Dipenjara Kerana Mencuri

Kota Tinggi - Pembantu warden madrasah tahfiz yang ditahan bagi membantu siasatan kes memukul bekas murid berusia 11 tahun didapati mempunyai rekod jenayah lampau.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Asisten Komisioner Rahmat Othman berkata, suspek pernah disabitkan dengan kesalahan mencuri dalam bangunan dan pernah dipenjara 30 bulan.

"Suspek mempunyai rekod jenayah lampau bersabit Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri dalam bangunan. Dia disabitkan atas kesalahan itu dan dipenjara 30 bulan," katanya yang enggan mengulas lanjut.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan suspek kini ditahan reman empat hari.

Terdahulu, Mahkamah Majistret di sini, hari ini membenarkan suspek berusia 29 tahun itu direman empat hari hingga Rabu ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2010.

Dalam kejadian berkenaan mangsa dipukul dengan paip getah hingga menyebabkan kecederaan pada kedua-dua kakinya.

Kaki mangsa dipercayai mengalami jangkitan kuman sehingga terpaksa dipotong.

No comments