Siti Aishah Dihukum Penjara Miliki Buku Berkaitan Pengganas

Kuala Lumpur - Seorang bekas penuntut sarjana di sebuah universiti awam dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah memiliki buku berunsur perbuatan keganasan, Mac tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohamad Shariff Abu Samah memutuskan demikian terhadap Siti Noor Aishah Atam, 30, selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Mohamad Shariff memerintahkan Siti Noor Aishah dipenjara bermula dari tarikh tangkap iaitu 22 Mac tahun lalu serta kesemua buku yang terlibat dilucutkan hak kepada kerajaan untuk dilupuskan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Aishah Ugut Bunuh Diri Jika Tak Dapat Ke Syria]


Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa memiliki 12 buah buku yang merupakan item yang berunsur perbuatan keganasan dan berkaitan dengan kumpulan pengganas iaitu Jemaah Islamiyah, Daesh dan al-Qaeda.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Lot 1241, Jalan Lapangan Terbang Sura, Dungun, Terengganu pada pukul 12.25 tengah hari, 22 Mac tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana bahan tersebut.

No comments