Selalu Tampil ‘Seksi’, Aktres Dilarang Berlakon Setahun

Phnom Penh - Seorang aktres Kemboja, yang selalu mengenakan pakaian mencolok mata, diharam berlakon selama setahun kerana "terlalu seksi".

Kementerian kebudayaan mengambil tindakan terhadap wanita 24 tahun itu setelah beliau enggan berhenti tampil seksi, lapor The Phnom Penh Post semalam.

Denny Kwan, pelakon video muzik, pernah dipanggil hampir setahun lalu untuk "diajar" mengenai cara berpakaian setelah fotonya yang ghairah muncul di media.

Ketua jawatankuasa disiplin kementerian itu Chamroeun Vantha berkata tindakan diambil kerana Kwan ingkar janji bertulis yang dibuat Mei lalu.

Walau dikecam, beliau mempertahankan larangan itu dengan menyatakan ia mengikut kod etika yang diperkenalkan mulai 23 Februari lepas.

Kod etika itu menetapkan semua penggiat seni berpakaian dengan cara terhormat dan mengikut identiti negara tersebut.

Susulan itu, Kwan dilarang terlibat dalam penggambaran filem, persembahan karaoke atau nyanyian di televisyen.

Vantha juga menggesa persatuan seniman dan syarikat produksi mematuhi larangan tersebut dengan tidak mengambil Kwan dalam iklan.

Kementerian wanita Kemboja mengingatkan kepada semua penggiat seni agar tidak berpakaian sesuka hati.

Tidak terjejas pendapatannya kerana ada perniagaan sendiri, Kwan berkata beliau "akan cuba tidak berpakaian seksi seperti selalu di Facebook."

Thida Khus, ketua kumpulan hak asasi wanita Silaka, menyifatkan larangan itu "diskriminasi" dan "melanggar persamaan gender".

No comments