(7 Gambar) Penduduk Gempar Lihat Kejadian Sejadah, Telekung Berdiri

Sik - Penduduk di sekitar kawasan Jeneri, di sini gempar apabila kejadian sejadah berdiri tegak persis individu sedang bersolat seperti yang pernah dilaporkan berlaku di beberapa negeri suatu waktu dahulu, kini berlaku pula di Kampung Tok Aris, Jeneri.

Menerusi catatan di laman sosial Facebook milik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid, kejadian tersebut berlaku di kediaman milik Zahrizan Ghazali, 47, sekitar jam 1.45 petang ketika dia mahu menunaikan solat Zohor bersama anak perempuannya.

“Menceritakan detik-detik kejadian ketika saya berkunjung ke rumahnya sebentar tadi, dia memberitahu pada awalnya, dia sedang menghamparkan sejadah untuk solat Zohor dan masuk seketika ke dalam bilik untuk memakai kain sembahyang manakala sejadah anaknya dan telekungnya sendiri diletakkan di atas sejadah yang satu lagi.

“Dalam tempoh dua atau tiga minit, dia keluar dari bilik dan terkejut melihat sejadah dan kain telekungnya berdiri tegak seolah-olah sedang bersolat. Ketika kejadian, kelima – lima anaknya berada di rumah dan di luar kawasan rumah,” ujar Mahadzir di laman Facebooknya.

Sementara itu, tambah beliau, pemilik kediaman tersebut begitu terkejut dengan kejadian tersebut, dan memaklumkan kepada jirannya, sekaligus kejadian mengenai perkara tersebut mula tersebar.

Tambah Mahadzir, sehingga laporan ini ditulis, keadaan sejadah dan telekung tersebut masih berdiri tegak.

“Kepada semua, saya ingin menasihatkan supaya melihat kejadian ini dengan penuh hikmah dan keinsafan agar kita memelihara solat serta amalan kita.

“Jauhi sebarang perbuatan khurafat dan yakin serta percaya dengan firman Allah dalam surah Yassin ayat 82 yang antara lainnya bermaksud: jika Allah berkehendakkan sesuatu itu berlaku, maka berlakulah ia.. Wallahua'lam..,” ujarnya.

No comments